Tips dan Amalan Gaya Hidup Sihat dalam Kehidupan Seharian

          Kehidupan yang bahagia,selamat dan sihat merupakan kehidupan impian semua orang. Untuk mencapai impian tersebut, pengamalan gaya hidup sihat merupakan  langkah yang wajar dipraktikkan oleh setiap lapisan masyarakat. Rakyat negara ini harus sedar tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat supaya dapat menjalani kehidupan yang selamat dan sihat.

          Antara cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat ialah pemakanan yang seimbang. Hal ini meliputi pengambilan pelbagai jenis makanan berdasarkan piramid makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Makanan seperti nasi dan bijirin yang mengandungi kaborhidrat harus diambil dalam kuantiti yang banyak dan diutamakan kerana kaborhidrat dapat membekalkan tenaga untuk membolehkan kita menjalani pelbagai urusan kehidupan seharian. Pengambilan sayur dan buah-buahan yang banyak amat penting bagi membekalkan vitamin dan serat yang cukup kepada tubuh badan. Makanan yang mengandungi lemak,minyak,garam dan gula yang tinggi harus dielakkan. Hal ini demikian, makanan yang tidak sihat ini akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes,darah tinggi, obesiti dan serangan jantung. Oleh itu, makanan yang seimbang dan sihat harus diutamakan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan sihat.




          Seterusnya, melakukan aktiviti senaman dan beriadah ialah merupakan salah satu cara mengamalkan gaya hidup sihat. Pengambilan makanan seimbang yang disertai dengan amalan bersenam dan beriadah secara konsisten dapat membakar kalori dalam badan dan seterusnya mengurangkan masalah peningkatan berat badan. Aktiviti senaman dan beriadah boleh dilakukan sebanyak tiga kali seminggu bersama-sama keluarga dan rakan. Memang tidak dinafikan bahawa badan yang cergas dapat membina minda yang cerdas. Oleh itu,kita haruslah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk melakukan aktiviti senaman dan beriadah seperti berjalan, berlari dan bermain yang dapat mengeluarkan peluh. Amalan senaman dan beriadah mampu melancarkan aliran darah, menguatkan urat saraf dan otot-otot badan serta peluh yang dapat menjamin kualiti kesihatan seseorang.




          Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.




          Bagi menjamin kesihatan diri kita terjamin,kita hendaklah berjumpa dengan doktor di hospital dan klinik secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya lima kali setahun bagi membolehkan penyakit yang tidak menunjukkan sindrom dapat dikesan lebih awal. Sebagai contohnya, penyakit berbahaya seperti kanser yang kita sedia maklum bahawa sukar diubati jika lambat diketahui. Bak kata pepatah "jangan sudah terhantuk baru tengadah". Oleh itu, dengan pertemuan secara berkala dengan doktor, rawatan susulan dapat dilakukan supaya kesihatan seseorang indidu terjamin.

          Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.



          

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

JENIS - JENIS KUCING DI DUNIA